Tuesday, November 11, 2008

DINAMIKA ILMIAH


DINAMIKA ILMIAH



Dalam sistem pendidikan kita sekarang ini, peperiksaan merupakan suatu beban kepada pelajar-pelajar. Bincangkan.

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, peperiksaan membawa maksud ujian untuk menentukan kebolehan dan kepandaian seseorang. Perkataan beban pula ditakrifkan sebagai tanggungan yang berat. Dalam sistem pendidikan Singapura yang berorientasikan peperiksaan, peperiksaan bukanlah sesuatu yang baru. Peperiksaan telah pun wujud sejak zaman jahiliyah lagi dan merupakan kayu ukuran dalam menentukan kedudukan seseorang. Kini, semua institusi pendidikan termasuklah sekolah rendah, sekolah menengah, maktab rendah, madrasah dan juga universiti telah mewajibkan peperiksaan bagi menentukan kelayakan ke peringkat seterusnya. Peperiksaan merupakan kriteria bagi menentukan pencapaian dan kebolehan seseorang dalam jurusan yang diceburi. Pendekata sekolah dan peperiksaan ibarat irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Namun, ada yang berpendapat bahawa peperiksaan merupakan satu beban dan harus dimansuhkan. Sejauh manakah kebenaran dakwaan tersebut. Ataupun ia hanyalah satu andaian semata-mata.


Saya bersetuju dengan dakwaan tersebut tetapi tidak seratus-peratus. Memang tidak dinafikan bahawa peperiksaan merupakan satu beban bagi seseorang pelajar namun pernyataan itu masih boleh diperdebatkan dengan alasan-alasan yang tuntas. Alasan yang pertama ialah peperiksaan menyebabkan tekanan. Pelajar mana yang tidak tertekan jika disuruh mengulangkaji tujuh subjek sekaligus dalam masa yang singkat. Pelajar juga dikehendaki melibatkan diri dalam kegiatan luar darjah selepas waktu sekolah serta menghadiri kelas-kelas tambahan yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Harapan ibu bapa yang menggunung tinggi memburukkan lagi keadaan. Ibu bapa sering mengharapkan anak-anak mereka lulus peperiksaan dengan kelulusan yang cemerlang tanpa memberi sokongan moral dan kewangan. Apabila ini berlaku, para pelajar akan berasa tertekan lalu tercicir dari arus persekolahan.


Peperiksaan juga turut menjejaskan kesihatan. Sudah terbukti bahawa seseorang manusia harus tidur sekurang-kurangnya 7 jam sehari. Malangnya ramai remaja tidak mengamalkannya dan sering jatuh sakit akibat kurang rehat yang secukupnya. Remaja hari ini banyak menghabiskan masa mengulangkaji pelajaran hinggakan mereka mengabaikan makan dan minum. Ada yang belajar sampai 2 pagi kerana tidak mahu gagal dalam peperiksaan. Akibat kekurangan tidur kesihatan para pelajar akan terjejas.


Di samping itu, peperiksaan juga menyebabkan kemurungan sehingga ada yang mengambil jalan singkat dengan membunuh diri. Tidak hairanlah sekiranya kadar bunuh diri dalam kalangan pelajar sekolah melonjak naik sejak akhir-akhir ini. Peperiksaan amat membebankan sehingga pelajar tergamak mengorbankan nyawa sendiri. Hal ini akan menjejaskan nama baik sekolah-sekolah yang terbabit. Justeru, guru-guru harus memberi dorongan, bimbingan dan sokongan moral supaya pelajar dapat meneruskan perjuangan di medan pelajaran.


Selanjutnya peperiksaan juga menyebabkan kadar keciciran yang tinggi. Lazimnya pelajar yang tercicir ialah pelajar yang lemah dan sering gagal dalam peperiksaan. Kegagalan dalam peperiksaan menyebabkan seseorang remaja hilang minat dalam pelajaran. Apabila menghadapi kegagalan, pelajar tersebut membuat keputusan terburu-buru untuk berhenti sekolah. Menurut Charles Dickens “orang yang berjaya bukanlah orang yang memendamkan semangatnya kerana takut gagal, bukan juga orang yang tidak pernah gagal, tetapi ialah orang yang tetap maju ke depan sungguhpun menempuh kegagalan.” Maksudnya orang yang berjaya adalah orang yang tidak takut kepada kegagalan kerana ia adalah asam garam kehidupan. Berhenti sekolah merupakan suatu perbuatan yang bodoh dan merugikan.


Namun peperiksaan juga mendatangkan kesan positif. Peperiksaan merupakan kayu ukuran bagi menentukan kecerdasan minda seseorang. Peperiksaan dapat menunjukkan siapa yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan. Pelajar yang cemerlang akan berpeluang mengembangkan bakat dan potensi mereka dengan memasuki institusi pengajian tinggi yang terbaik manakala pelajar yang lemah akan mengetahui tahap pencapaian mereka dan memperbaiki kelemahan mereka. Ini akan mendorong pelajar yang lemah untuk terus berusaha dan memperbaiki prestasi mereka agar mampu bersaing pada hari muka. Pelajar juga akan tahu sejauh mana tahap pencapaiannya. Dengan pengetahuan ini, para pelajar akan berusaha untuk memperbaiki prestasi masing-masing. Hal ini akan menimbulkan persaingan yang sihat dalam kalangan pelajar dalam bidang pelajaran.


Para pelajar juga tidak akan bersikap sambil lewa dengan ketiadaan peperiksaan. Sistem pendidikan yang tidak mempunyai peperiksaan akan membawa padah kepada negara. Hal ini kerana para pelajar tidak akan mempedulikan pelajaran mereka. Pelajar juga tidak akan mengulangkaji pelajaran mereka dan menimba seberapa banyak ilmu pengetahuan yang ada kerana mereka tidak diuji. Oleh itu, peperiksaan harus diadakan supaya para pelajar akan lebih serius terhadap pelajaran mereka. Pelajar juga harus didedahkan kepada sedikit tekanan. Sedikit tekanan tidak akan mendatangkan kemudaratan.


Para pelajar juga dapat mengenalpasti kesilapannya. Kemungkinan keputusan peperiksaan pertengahan tahun pelajar tersebut kurang memuaskan. Pelajar itu boleh mengambil iktibar daripada peperiksaan tersebut dengan mengulangkaji apa yang patut serta mempersiapkan diri untuk peperiksaan akhir tahun pula. Bak kata pepatah, rahsia utama menuju kebahagiaan ialah percaya kepada diri sendiri. Oleh sebab itu pelajar tidak harus ragu-ragu tentang kebolehan diri sendiri dan harus yakin dia mampu melakukannya.


Berdasarkan perbincangan di atas, saya dapat merumuskan bahawa peperiksaan memang merupakan satu beban kepada para pelajar tetapi ia juga mendatangkan kesan-kesan yang positif. Tekanan merupakan asam garam persekolahan dan tidak dapat dielakkan. Semua para pelajar akan menghadapi sedikit tekanan dalam mengharungi alam persekolahan. Namun, bak kata pepatah “kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.” Hakikatnya, peperiksaan mendorong para pelajar untuk berusaha gigih ke arah kejayaan. Sekiranya semua pelajar bersikap demikian, insyallah impian Singapura untuk melahirkan rakyat yang arif budiman akan menjadi kenyataan.

Nuramira Bte Roslan
Menengah 5N2
Sekolah Menengah Dunearn

Cara-Cara Menyemai Minat Membaca Dalam Kalangan Pelajar

Dalam era ledakan informasi ini, masyarakat Singapura seharusnya memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan melalui pembacaan yang luas untuk mengharungi cabaran pensejagatan. Dalam dunia kompetitif ini, para pelajar harus berusaha untuk meningkatkan diri mereka dari segi ilmu pengetahuan bagi meraih kejayaan. Tabiat membaca dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah dikatakan semakin lama semakin merosot. Pada hemat saya, tabiat membaca wajib disemai sejak kecil lagi. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang dapat memupuk minat membaca dalam dalam kalangan pelajar masa kini. Mampukah seseorang itu berjaya tanpa mempunyai tabiat membaca.

Kecanggihan media elektronik terutamanya televisyen adalah antara penyebab utama mengapa pelajar-pelajar tidak gemar membaca. Pelajar-pelajar lebih suka menonton televisyen pada masa lapang mereka berbanding dengan membaca buku. Tabiat membaca hanya tertumpu kepada buku-buku teks sekolah yang akan menjamin kecemerlangan dalam peperiksaan. Para pelajar pada umumnya tidak mempunyai masa untuk membaca buku-buku di perpustakaan atau pun di toko-toko buku.

Pemerintah memainkan peranan penting dalam memupuk minat membaca. Pemerintah boleh mengadakan Kempen Membaca. Cara ini boleh menyedarkan para pelajar tentang kepentingan membaca. Pemerintah juga boleh mengurangkan cukai penjualan buku di toko-toko buku supaya pelajar akan lebih berminat untuk membaca daripada menonton televisyen. Pemerintah juga boleh berganding bahu dengan pihak media massa untuk mempromosikan kempen membaca serta memupuk kesedaran tentang kepentingan membaca.

Di samping itu, pihak sekolah juga boleh menganjurkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan membaca. Pihak sekolah boleh mengadakan Minggu Membaca untuk menggalakkan para pelajar untuk membaca. Sepanjang Minggu Membaca ini, aktiviti-aktiviti seperti pertandingan membaca yang bertujuan untuk menyuburkan minat membaca dalam kalangan pelajar. Pihak sekolah juga harus mengadakan ceramah kesedaran membaca di sekolah untuk memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar. Oleh kerana pelajar-pelajar miskin tidak mampu untuk mengamalkan tabiat membaca, pihak sekolah seharusnya mengadakan sebuah perpustakaan ataupun pusat sumber yang lengkap supaya ia dapat memberi faedah kepada semua pelajar.

Ibubapa juga boleh memainkan peranan di dalam situasi begini. Ibubapa seharusnya mengamalkan tabiat membaca supaya anak-anak mereka akan mengikut jejak langkah mereka. Ibu bapa juga boleh menyediakan perpustakaan mini agar anak-anak terdorong untuk mengamalkan tabiat membaca pada masa lapang mereka. Ibu bapa juga harus memilih buku-buku yang sesuai sebagai hadiah untuk anak-anak mereka. Lama-kelamaan, minat membaca mereka akan meningkat.

Seterusnya, pihak penerbit boleh mempromosikan penjualan buku-buku dengan potongan harga istimewa. Mereka perlu menerbitkan buku-buku yang boleh membantu para pelajar dalam pelajaran mereka dan buku-buku yang boleh memberi pengajaran yang positif. Pihak penerbit juga boleh mengadakan pesta buku secara besar-besaran di Ekspo Singapura atau di Pusat Dagangan Singapura. Hal Ini boleh mempromosikan tabiat membaca kepada para pelajar. Pelajar-pelajar lebih gemar menghadiri pesta buku kerana di situ terdapat berbagai jenis buku daripada pelbagai genre.

Ramai pelajar juga dipengaruhi oleh media massa. Saluran Suria boleh mengadakan program membaca seperti rancangan ‘Krayon’ dan lain-lain. Media massa juga boleh mengiklankan slogan membaca supaya kanak-kanak akan berminat untuk membaca. Apabila mereka mempunyai tabiat membaca semenjak kecil lagi, tabiat membaca akan tertanam dalam jiwa mereka secara automatik.

Berdasarkan perbincangan di atas, jelaslah, membaca adalah kunci kejayaan. Kita harus memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar sejak awal lagi bak kata pepatah “kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Ini bermakna budaya membaca harus dijadikan gaya hidup kita. Membaca perlu dijadikan prioriti negara demi menjana masyarakat yang kaya ilmu dan berdaya fikir. Sekiranya masyarakat Singapura rajin membaca, tidak hairanlah pada suatu hari nanti, impian Singapura untuk melahirkan rakyat yang arif budiman akan terlaksana.

Anisa Fadly Lam
Menengah 3E1
Sekolah Menengah Dunearn

Peningkatan kadar kehamilan dan pengguguran dalam kalangan remaja berpunca daripada kepincangan institusi keluarga. Bincangkan.

Remaja adalah tunggak bangsa dan negara. Merekalah harapan masyarakat pada hari muka. Mereka bertanggungjawab membina generasi seterusnya. Jika runtuh akhlak mereka, maka goyahlah akhlak generasi akan datang. Ini adalah kerana merekalah yang akan menjulang nama negara dan meletakkannya di mercu kejayaan kelak. Namum demikian, lautan mana yang tidak berombak, bumi mana yang tidak ditimpa hujan? Remaja juga seperti manusia biasa yang pastinya tidak akan terlepas daripada dibelenggui masalah. Contohnya, masalah seks rambang seperti pengguguran bayi dan pembuangan bayi. Persoalannya, adakah ibu bapa yang harus dipersalahkan di dalam hal ini? Adakah peningkatan kadar kehamilan dan pengguguran dalam kalangan remaja berpunca daripada kepincangan institusi keluarga?

Memang tidak boleh dinafikan bahawa peningkatan kadar kehamilan dan pengguguran dalam kalangan remaja berpunca daripada kepincangan institusi keluarga. Namun, ia masih boleh diperdebatkan. Hal ini kerana terdapat alasan-alasan lain yang menyebabkan masalah tersebut. Sebelum kita membuat apa-apa kesimpulan, ayuh kita tinjau alasan bagi menyokong dakwaan bahawa kepincangan institusi keluarga menyebabkan peningkatan kadar kehamilan dan pengguguran dalam kalangan remaja.

Alasan perdana adalah ibu bapa terlalu memanjakan anak-anak mereka. Ibu bapa terlalu taksub mencari lembaran kertas yang berharga itu sehinggakan mereka lalai dan alpa terhadap tanggungjawab mereka kepada anak-anak. Bagi menebus kesilapan mereka, wang belanja yang berlebihan telah diberikan kepada anak-anak mereka. Selain itu, kerana terlalu sayangkan anak mereka, ibu bapa telah memberikan kebebasan yang sepenuhnya kepada anak mereka. Apabila diberikan kebebasan, anak itu akan menyalahgunakan kebebasan dan kepercayaan yang diberikan sehinggakan menyebabkan mereka terlibat dalam kancah yang kurang sihat.

Alasan seterusnya ialah ketandusan kasih sayang daripada ibu bapa. Pada usia yang muda, remaja sangat memerlukan kasih sayang daripada ibu bapanya. Namun, mereka taksub mencari harta dunia sehinggakan melupakan tanggungjawab mereka mendidik anak-anak. Mereka alpa dan lalai dalam mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak mereka. Mereka juga tidak mengambil tahu perihal anak-anak mereka sama ada mereka di dalam dilema ataupun tidak. Lantaran itu, remaja akan mencari saluran eskapisme untuk mendapatkan kasih sayang. Selain itu, kemungkinan besar remaja tersebut akan terjerumus ke dalam lembah maksiat.

Alasan yang terakhir adalah keganasan rumah tangga. Menurut kajian yang telah dijalankan, 63% hingga 75% pasangan terlibat dalam keganasan rumah tangga. Keganasan rumah tangga boleh didefinasikan sebagai tindakan yang mempunyai niat untuk mencederakan, merosakkan atau membunuh ahli keluarga sendiri. Ini semua berpunca dari tekanan hidup dan kejahilan tentang agama. Keganasan rumah tangga boleh mendatangkan masalah seperti masalah seks rambang dalam kalangan remaja. Hal ini terbukti dengan berlakunya perpecahan keluarga seperti perceraian. Melalui penceraian, anak-anak meraka akan mempunyai masalah emosi. Keadaan Ini boleh mengakibatkan anak-anak mereka terlibat dalam aktiviti yang jurang menyenangkan seperti seks rambang.

Namun demikian, setelah membentangkan alasan-alasan yang menyebabkan peningkatan kadar kehamilan dalam kalangan remaja, terdapat juga alasan-alasan lain yang menyebabkan peningkatan kadar kehamilan dalam kalangan remaja. Alasan perdana adalah kejahilan tentang ilmu ukhrawi iaitu agama. Seseorang tokoh pernah berkata bahawa tanpa pendidikan agama, seseorang itu mempunyai iman yang goyah dan mudah dipengaruhi oleh iblis. Dengan ini, ramai yang tidak dapat mengawal nafsu lantas mereka akan mengadakan hubungan seks di luar nikah. Apabila si gadis itu mengandung anak luar nikah, mereka disuruh menggugurkan kandungannya demi menutup malu. Oleh demikian, kadar pengguguran dalamm kalangan remaja semakin meningkat.

Seterusnya, pengaruh rakan sebaya juga merupakan satu alasan yang menyebabkan peningkatan kadar kehamilan dan pengguguran dalam kalangan remaja. Rakan sebaya adalah agen yang memainkan peranan penting. Apabila mereka diberi kebebasan, mereka bergaul dengan rakan-rakan yang rendah akhlaknya. Ini akan mengakibatkan remaja tersebut terpengaruh dengan tingkah-laku rakan sebaya mereka itu. Atas desakan kawan-kawan mereka, mereka mengadakan hubungan seks di luar nikah . Alangkah bodohnya si remaja itu bak pepatah melayu,"seperti lembu dicucuk di hidung". Maka berlakulah kehamilan yang tidak dingini.

Alasan selanjutnya adalah pengaruh media massa. Memang tidak boleh dinafikan bahawa media massa memainkan peranan yang magnitud dalam mencari informasi dan menimba ilmu. Namun demikian, ia juga dapat menimbulkan implikasi yang negatif terhadap seseorang remaja itu. Contohnya, internet yang menyediakan pelbagai lelaman lucah yang kini tidak asing lagi dalam kalangan remaja. Dengan ini, para remaja akan terdorong untuk mengadakan hubungan seksual setelah menonton adegan-adegan yang mengghairahkan. Selain itu, televisyen juga seringkali menyiarkan rancangan-rancangan yang berunsur negatif dan hedonisme seperti 'Desperate Housewives', 'Hanyut' dan 'Seksa'. Rancangan-rancangan Ini telah menjadi contoh kepada golongan remaja. Lantas, mengakibatkan kadar kehamilan dalam kalangan remaja meningkat.

Akhir sekali adalah sikap individu itu sendiri. Tiada sesiapa yang dapat memaksa kita melakukan sesuatu melainkan kita sendiri yang membuat keputusan untuk melakukannya. Bak kata pepatah melayu, 'tepuk dada, tanya selera'. Seseorang remaja itu harus pandai membezakan antara yang baik dan yang buruk. Mereka haruslah berfikiran matang dalam membuat keputusan. Mereka haruslah bersikap berdisiplin. Mereka juga harus kuatkan iman mereka supaya mereka mudah melawan nafsu haloba. Melalui cara ini, mereka tidak akan mudah terjerumus ke dalam lembah maksiat. Remaja yang kurang bermoral atau disiplin akan mudah terpengaruh dengan sikap-sikap yang negatif seperti seks rambang.

Kesimpulannya, peningkatan kadar kehamilan dan pengguguran dalam kalangan remaja bukan hanya berpunca daripada kepincangan institusi keluarga. Ia juga berpunca daripada pelbagai pemangkin seperti kejahilan tentang agama, pengaruh rakan sebaya, pengaruh media massa dan juga sikap individu. Bagi mengatasi masalah ini semua pihak harus memainkan peranan. Adalah diharapkan pada suatu hari nanti Singapura akan bebas daripada masalah kehamilan dan pengguguran yang memudaratkan. Insya Allah.

Karmilah Bte Kamis
Menengah 4E2
Sekolah Menengah Dunearn

Masalah Penyalahgunaan dadah Subuteks semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Jelaskan kesan-kesan penyalahgunaan dadah Subuteks dan halangan-halangan yang menggagalkan usaha untuk membanterasnya.

Dadah didefinisikan sebagai ubat-ubatan yang merosakkan atau membinasakan orang yang menggunakannya secara berlanjutan. Namun, pada era persejagatan ini penggunaan dadah semakin bermaharajalela. Salah satu jenis dadah yang menjadi tajuk berita ialah Subutexs. Subuteks adalah sejenis dadah sintetik yang merbahaya jika diambil secara keterlaluan. Punca-punca yang menyebabkan ramai orang menggunakan Subuteks ialah pengaruh dari rakan sebaya, ketandusan kasih sayang daripada orang tua dan bekalan dadah yang mudah diperolehi. Persoalannya, apakah kesan-kesan penyalahgunaan dadah Subuteks? Apakah halangan-halangan yang menggagalkan usaha untuk membanterasnya? Apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasi masalah ini? Mari kita bincangkan penyalahgunaan dadah ini terlebih dahulu.

Kesan penyalahgunaan dadah Subuteks yang pertama ialah dari aspek kesihatan. Subuteks merupakan sejenis dadah yang mampu membuat orang-orang yang menggunakanya menjadi ketagihan. Jika orang tersebut berhenti menggunakan Subuteks ini, dia akan berasa tidak nyaman dan juga berasa kesakitan seperti sukar untuk tidur, sakit kepala dan sakit perut. Kesihatan orang tersebut juga akan terjejas teruk. Contohnya, seorang pengguna Subuteks, Tina pernah mengatakan bahawa tubuhnya semakin kurus apabila dia terus-menerus menggunakan Subuteks. Dia juga sentiasa kelihatan lesu dan lemah. Ini akan membuat seseorang yang menggunakan Subuteks akan mudah jatuh sakit.

Kesan yang kedua ialah dari sudut sosial. Satu biji 8 gram Subuteks berharga sekitar $130 di pasaran gelap. Ini akan membuat seseorang yang sering menggunakan Subuteks menjadi miskin kerana harganya sangat mahal. Orang yang ketagih dadah Subuteks terpaksa meminjam wang daripada teman dan juga keluarga untuk memenuhi keperluannya agar dia tidak akan berasa kesakitan. Kes akan menjadi lebih kronik apabila teman dan juga keluarga tidak ingin meminjamkan wang lagi kepadanya kerana dia tidak dapat melunaskan hutang-hutangnya. Lazimnya dia terpaksa melakukan tindakan kriminal untuk mendapatkan wang seperti mencuri dan sebagainya. Dia juga mungkin akan hilang kesedarannya dan membunuh orang jika permintaannya tidak dipenuhi.

Kesan yang terakhir ialah masalah keluarga. Seorang suami yang terus-menerus menggunakan dadah akan menjadi papa kedana kerana dia banyak menghamburkan wangnya untuk membeli bekalan dadah. Kemungkinan juga dia akan mengajak isteri dan anaknya untuk ikut menggunakan Subuteks ini. Dia akan bersikap kasar terhadap keluarganya dan keluarganya akan menjadi porak-peranda. Oleh sebab itu, hubungan mereka akan terjejas kerana si isteri akan meminta si sumai untuk menceraikannya kerana sikap si suami yang agresif. Anak-anak juga akan terpengaruh dengan sikap orang tua mereka dengan bersikap kasar dan juga ikut menggunakan dadah. Anak-anak mereka juga mungkin akan mengalami depresi atau kemurungan kerana mereka terus-menerus melihat orang tua sering bergaduh.

Apakah pula halangan-halangan yang menggagalkan usaha untuk membanterasnya. Halangan pertama ialah sikap masyarakat yang negatif. Sikap masyarakat yang tidak mempedulikan keadaan ini menjadi hambatan untuk membanterasnya. Pemerintah bersendirian tidak akan dapat membendung penyalahgunaan Subuteks ini tanpa sokongan masyarakat. Masyarakat memainkan peranan penting bagi membanteras pengedaran dan penggunaan Subuteks. Masyarakat dapat melaporkan kepada pihak berwajib apablia mereka melihat transaksi antara pengedar dan pengguna Subuteks ini. Contohnya, baru-baru ini pihak polis telah berjaya menangkap pengedar Subuteks yang pertama iaitu Ow Wai Ping. Ow Wai Ping telah dipenjara enam tahun kerana mengedar dadah Subuteks. Tanpa informasi daripada masayarakat kemungkinan pihak polis tidak akan dapat memberkasnya.

Halangan seterusnya ialah kegagalan ibu bapa memainkan peranan mereka. Ibu bapa mencurahkan kasih sayang kepada anak mereka dengan menghamburkan wang ringgit kepada anak-anak mereka tanpa memberikan perhatian yang sewajarnya. Si anak akan berasa bahawa orang tua mereka tidak mempedulikan mereka. Mereka akan terpengaruh untuk mencuba dan menggunakan dadah tersebut. Masa depan mereka akan hancur apabila ini terus dibiarkan. Jika orang tua mereka memberikan perhatian dan kasih sayang yang secukupnya, kemungkinan si anak tidak akan tergoda dan terpengaruh untuk menggunakannya. Secara tidak langsung, pengguna Subuteks juga akan berkurangan secara drastik.

Halangan yang terakhir ialah kelemahan individu itu sendiri. Individu yang lemah akan membuat orang itu tidak dapat menahan sakit dan kemahuan untuk mengambil Subuteks lagi. Walaupun mereka sudah mencuba untuk berhenti namun mereka tidak dapat menahan keinginan mereka untuk terus menggunakan Subuteks. Kelemahan individu adalah hambatan yang sangat besar bagi menggagalkan usaha pemerintah untuk membanteras dadah Subuteks.

Kesimpulannya, penyalahgunaan dadah Subuteks mendatangkan kesan-kesan yang memudaratkan dari aspek kesihatan, sosial dan juga keluarga. Halangan-halangan yang mengagalkan usaha untuk membanterasnya ialah sikap negatif masyarakat, pengabaian ibu bapa dan kelemahan individu itu sendiri. Saya mencadangkan agar pemerintah mengenakan hukuman yang lebih berat ke atas pengedar dan pengguna Subuteks. Ibu bapa harus memberikan perhatian yang lebih kepada anak-anak dan para pengguna Subuteks wajib pergi mendaftarkan diri dalam Program Pemulihan Sukarela (SVRP) untuk membasmi penyalahgunaan dadah Subuteks. Saya berharap agar penggunaan dadah Subuteks akan berkurangan agar segala macam bentuk dadah termasuk Subuteks akan dimusnahkan dari dunia ini. Saya berpendapat najis dadah termasuk Subuteks akan menghancurkan masa depan orang-orang yang menggunakannya jika mereka tidak pulang ke pangkal jalan.

Vincent Marthawan Jong
Menengah 4E1
Sekolah Menengah Dunearn

Warga tua merupakan golongan yang telah banyak berjasa kepada kemakmuran dan kemajuan negara Singapura. Nyatakan langkah-langkah yang boleh diambil untuk membantu golongan ini agar kehidupan mereka lebih selesa dan bermakna ketika usia senja.

Warga tua merupakan sumber dan pedoman kepada generasi muda untuk mengharungi pancaroba hidup. Malangnya, golongan ini sering terabai manakala jumlah penghuni di rumah orang-orang tua kian hari kian meningkat. Hal ini jelas memaparkan keruntuhan institusi keluarga yang amat membimbangkan. Kehidupan masyarakat pada era globalisasi ini lebih mementingkan kekayaan dan kebendaan daripada kasih sayang kepada keluarga. Gejala ini menyebabkan nasib warga tua pada zaman teknologi maklumat ini tidak lagi sebaik dahulu. Masyarakat kini beranggapan bahawa orang tua tidak produktif, tidak berguna, membebankan dan banyak karenah. Mengapakah kebajikan warga tua diabaikan? Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk membantu golongan istimewa ini agar kehidupan mereka lebih selesa dan bermakna ketika meniti usia senja.

No comments:

Kumpulan Tari Puspa Sari

Kumpulan Tari Puspa Sari
Wira kacak dan srikandi jelita dari Dunearn

Kumpulan Kompang Lancang Kuning

Kumpulan Kompang Lancang Kuning
Wira-wira kacak dari Dunearn

Kumpulan Dikir Barat Puspa Wiraja

Kumpulan Dikir Barat Puspa Wiraja
Awok-awok menyanyi sambil bertepuk tangan