Saturday, November 22, 2008

Laporan Perbayu Dunearn 2008

2008 merupakan tahun bersejarah bagi Perbayu Dunearn. Bilangan ahli kami telah meningkat dari 40 orang ahli kepada 50 ahli yang terdiri dari pelajar-pelajar menengah satu hingga menengah lima. Antara kegiatan mingguan yang kami anjurkan termasuklah tarian, dikir barat, kompang, deklamasi puisi dan bahas.
Ahli jawatankuasa telah dilantik pada awal bulan Januari dan latihan mingguan telah dijalankan pada setiap petang Selasa dan Jumaat. Ahli persatuan diberi latihan asas dalam bidang tarian, dikir barat, kompang, drama, bahas dan puisi. Sambutan ahli-ahli begitu menggalakkan dan ahli-ahli telah memberikan sokongan padu dan menunjukkan keghairahan semasa sesi latihan dan juga semasa persembahan pentas.
Acara kemuncak pada tahun ini ialah Konsert Gong Xi Raya anjuran Jabatan Bahasa Ibunda di mana kami telah mempersembahkan acara tarian dan dikir barat. Kami juga turut menyertai Pertandingan Puisi Artistik anjuran Sekolah-Sekolah Kelompok Barat 2 yang ternyata mendapat sambutan hangat dari sekolah-sekolah. Di akhir pertandingan pasukan sekolah kami muncul sebagai Naib-Juara dan dijemput membuat persembahan Puisi Artistik “Bayangan Di Cermin ” di Esplanade bagi memeriahkan pembukaan Pesta Raya – Festival Kesenian Melayu 2008.
Bagi menajamkan lagi kemahiran ahli-ahli persatuan, kami telah mengambil bahagian dalam beberapa pertandingan seperti Pertandingan Bahas Piala Berita Harian, Walaupun pasukan kami gagal melayakkan diri ke peringkat suku akhir berdasarkan kiraan mata namun salah seorang pembahas bahas sekolah kami, Hadi Wiputra telah berjaya mengharumkan nama sekolah dengan merangkul Piala Pemidato Terbaik. Selain itu juga kami juga tidak ketinggalan menyertai Pertandingan Mengarang Pena Emasku anjuran EDN Media. Dalam pertandingan tersebut sekolah kami telah berjaya menyandang gelaran Johan Keseluruhan dengan memenangi anugerah 15 Emas dan 13 Perak. Dalam pertandingan mengarang anjuran SPH pula sekali lagi sekolah kami telah berjaya meraih tempat pertama melalui Adib Ahmas dan Luqman Baihaqim.
Kami juga bergiat aktif dalam kegiatan anjuran sekolah seperti Muzikal Sounds of Music, Konsert Hari Guru dan Konsert Hari Kebangsaan.
Sebagai sebahagian dari program pengayaan, ahli-ahli persatuan kami telah mengambil bahagian dalam ceramah peperiksaan. Ceramah ini diadakan pada bulan March untuk membimbing pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan bahasa Melayu peringkat ‘O’ pada hujung bulan Mei. Ceramah ini telah disampaikan oleh penceramah undangan yang merupakan ketua subjek dan ketua jabatan dari Sekolah Menengah Yusof Ishak, Sekolah Menengah Commonwealth, Sekolah Menengah Dunearn dan Sekolah Menengah Bukit Batok. Selain dari itu ahli-ahli kami juga berpeluang menghadiri Bengkel Kewartawanan anjuran Perbayu NUS dan menyaksikan Muzikal Setangkai Kembang Melati – anjuran Sekolah Menengah Teck Whye bagi tujuan apresiasi tarian dan drama.
Kesimpulannya, sepanjang tahun 2008, persatuan kami telah menganjurkan banyak kegiatan-kegiatan yang bermanfaat dan bermakna bagi ahli-ahli persatuan dan kami berharap tahun 2008 akan membawa kejayaan yang lebih besar kepada persatuan budaya Melayu.

No comments:

Kumpulan Tari Puspa Sari

Kumpulan Tari Puspa Sari
Wira kacak dan srikandi jelita dari Dunearn

Kumpulan Kompang Lancang Kuning

Kumpulan Kompang Lancang Kuning
Wira-wira kacak dari Dunearn

Kumpulan Dikir Barat Puspa Wiraja

Kumpulan Dikir Barat Puspa Wiraja
Awok-awok menyanyi sambil bertepuk tangan