Tuesday, November 18, 2008

Hukuman Rotan Lebih Banyak Mendatangkan Kebaikan Daripada Keburukan. Bincangkan.

Menurut laporan jawatankuasa kabinet yang mengkaji perlaksanaan dasar pelajaran, hukuman rotan boleh didefinisikan sebagai perihal menghukum dengan menggunakan sebuah rotan bagi kesalahan serius. Mutakhir ini masalah juvenil dan kenakalan remaja semakin bermaharajalela. Kemelut ini sering dipaparkan di dada-dada akhbar ibarat barah yang menular di dalam badan. Hal ini tentu membimbangkan para ibu bapa yang prihatin akan perkembangan moral dan mental anak-anak mereka. Oleh itu, untuk mengatasi masalah disiplin di sekolah-sekolah, lampu hijau telah diberikan kepada pihak sekolah untuk melaksanakan hukuma rotan ke atas murid-murid yang telah melakukan kesalahan berat. Persoalannya, hukuman rotankan mendatangkan lebih banyak keburukan?

Saya akur dengan pernyataan di atas tetapi tidak sepenuh-penuhnya. Memang tidak dinafikan bahawa hukuman rotan mendatangkan kebaikan. Alasan pertama ialah hukuman rotan merupakan cara yang efektif untuk menanamkan sikap disiplin di dalam diri murid-murid, lebih-lebih lagi terhadap murid yang degil dan melakukan kesalahan berulang-ulang kali dan juga mereka yang melakukan kesalahan serius seperti membuli, menghisap rokok, mencuri dan sebagainya. Oleh itu, dengan mengenakan hukuman rotan, murid-murid ini akan dipupuk dengan sikap disiplin di dalam diri mereka dan mereka tidak akan melakukan perbuatan yang melanggar peraturan sekolah.

Alasan yang kedua adalah hukuman rotan adalah langkah pencegahan 'deterrent' yang efektif untuk murid-murid lain. Hal ini kerana apabila murid itu dirotan sambil disaksikan oleh murid-murid yang lain, mereka yang melihat juga akan juga merenung dan melakukan muhasabah diri. Oleh itu, dengan adanya keinsafan dalam diri murid-murid, mereka tidak akan melanggar peraturan sekolah dan ini dapat mengurangkan kes disiplin di sekolah bak kata pepatah' pencegahan itu lebih baik dari rawatan'.

Akhir sekali, hukuman rotan dijalankan dengan bertujuan untuk memberikan pengajaran kepada murid-murid yang degil. Saya berkata demikian kerana dengan mengadakan hukuman rotan, murid-murid akan berfikir dahulu sebelum melakukan sebarang kesalahan disiplin kerana risiko yang akan mereka tanggung amat berat. Selain dari kesakitan, mereka juga akan mendapat aib di depan khalayak sekolah dan menconteng arang di muka ibu bapa mereka. Ringkasnya, hukuman rotan juga akan mengajar murid-murid supaya lebih berdisiplin dan bertindak dengan fikiran yang rasional supaya tindakan mereka itu tidak akan merugikan diri mereka sendiri.

Walaubagaimanapun, hukuman rotan juga mendatangkan kuburukan. Keburukan pertama adalah, ia akan menyebabkan murid-murid yang disebat atau dirotan berasa trauma dan fobia. Hal ini kerana, sebelum mereka dirotan, mereka akan berasa takut. Oleh yang demikian, keseimbangan emosi mereka akan tergugat dan mereka akan mengalami gangguan emosi yang dahsyat apabila mereka disebat. Mereka juga mungkin akan kehilangan keyakinan diri dan berasa malu dan segan untuk berinteraksi dengan rakan-rakan mereka selepas mereka disebat di khalayak ramai. Bak kata pepatah' mencontengkan arang di muka sendiri'.

Yang kedua, hukuman rotan boleh dianggap hukuman yang tidak berperikemanusiaan. Hal ini kerana hukuman rotan akan menyebabkan kecederaan fizikal kepada murid yang dirotan. Kecederaan yang dialami mereka adalah luka pada bahagian yang dirotan malah mungkin juga pada tulang belakang jikalau hukuman itu tidak dijalankan dengan sempurna dan berhati-hati. Bukan itu sahaja, malah murid-murid yang disebat akan dipinggirkan atau dipulaukan oleh rakan-rakan mereka kerana takut jikalau diapa-apakan.

Terakhir sekali, ia mendatangkan keburukan kerana hukuman rotan adalah hukuman yang mengaibkan pelajar tersebut dan tiada siapa yang ingin berkawan dengan mereka. kaibatnya mereka akan berhenti dan tercicir dari sekolah. Dengan ramainya kadar murid-murid yang berhenti sekolah, maka meningkatlah kadar keciciran pelajar di sekolah. Ini menyebabkan masalah kedua-dua pihak iaitu pihak sekolah dan murid tersebut. Akhirnya, dalam keghairahan sekolah memupuk disiplin dalam kalangan pelajar, kadar keciciran meningkat dengan drastik. Inikah yang diinginkan oleh pihak sekolah?

Berdasarkan perbincangan di atas jelaslah bahawa hukuman rotan mendatangkan kebaikan dan juga keburukan. Hukuman rotan wajar dilaksanakan sekiranya ia melibatkan kesalahan-kesalahan yang serius dan menuntut tindakan tegas daripada pihak sekolah. Namun begitu ia tidak harus dilakukan dengan sewenang-wenangnya.Tujuan hukuman rotan adalah untuk memupuk disiplin bukan untuk mengaibkan pelajar apatah lagi sehingga menyebabkan keciciran pelajar. Hukuman rotan merupakan alternatif yang terakhir sekiranya semua usaha lain seperti kaunseling dan mendapatlan kerjasama ibu bapa menemui kegagalan.Sekiranya semua pihak bekerjasama insya Allah masalah yang telah lama menjadi duri dalam daging ini akan dapat diselesaikan dengan saksama dan impian sekolah untuk melahirkan 'Sekolah Berdaya Fikir dan Negara Pencinta Ilmu akan dapat direalisasikan.

Luqman Baihaqim
Menengah 5 Ruby
Sekolah Menengah Dunearn

2 comments:

Unknown said...

Sy nk ucapkan trme ksih bnyk2 kerana rncana ini bnyk m'bntu sy dlm menyiapkn esei :)

Unknown said...

Trme ksih krn rencana ini bnyk membantu sy dlm menyiapkn esei.

Kumpulan Tari Puspa Sari

Kumpulan Tari Puspa Sari
Wira kacak dan srikandi jelita dari Dunearn

Kumpulan Kompang Lancang Kuning

Kumpulan Kompang Lancang Kuning
Wira-wira kacak dari Dunearn

Kumpulan Dikir Barat Puspa Wiraja

Kumpulan Dikir Barat Puspa Wiraja
Awok-awok menyanyi sambil bertepuk tangan